Tuesday 5 June 2012

MENGHARAP KASIH DALAM REDHANYA


Sufia memandang langit, hatinya begitu tenang. Terasa segala beban di hati hilang seketika. Sufia Adawiyah, gadis yang sentiasa mengukirkan senyuman. Dia juga seorang sahabat yang memahami. Baginya masalahnya harus terkunci rapi dan dikongsi bila perlu. Kerana itulah sahabat-sahabatnya sentiasa mentafsirkannya selalu bahagia. Namun, hanya Allah yang tahu setiap liku kehidupan yang harus dia tempuhi.
Gadis remaja sepertinya, pasti pernah mengenal erti jatuh hati, itulah fitrah yang diciptakan Allah buat hambaNya. Namun sebagai seorang muslimah, dia tidak pernah menterjemahkan rasa hatinya agar menjadi realiti. Dia lebih memilih untuk diam dan pada akhirnya kesakitan menjadi miliknya. Bagaimanapun, Sufia masih mampu mengukirkan senyuman. Dia tidak pernah menyalahkan takdir, mahupun sang Adam itu. Baginya jodoh itu ditentukan olehNya.
Sejak menjejakkan kaki ke universiti, Sufia pernah jatuh suka pada seorang Hamba Allah itu. Sifat matang lelaki itu berjaya menambat hati kecilnya. Namun Sufia sedar batas sebagai sebagai seorang muslimah. Dia hanya mampu berdoa, sentiasa bersujud memohon petunjuk.
Zairil Mikail, itulah nama pemuda yang berjaya membuka ruang di hatinya. Zairil ialah Yang DiPertua (YDP) salah satu persatuan yang turut disertai Sufia iaitu Persatuan Daie Muda. Zairil juga ialah seorang senior dalam jurusan yang diambilnya. Sufia tertarik dengan cara Zairil menyampaikan hujah-hujahnya, begitu matang sekali. Sufia dan Zairil pernah berhubung, tapi hanya apabila melibatkan soal persatuan. Zairil sentiasa menghormatinya. Dia begitu berdedikasi dalam melaksanakan tugasnya. Zairil benar-benar menjaga ikhtilat antara mereka.
Semakin hari, Sufia semakin menguburkan perasaanya, dia takut jika dia terlalu mengikut perasaannya itu, dia membuka pintu untuk syaitan melalaikannya. Hati dan iman yang rapuh mudah gugur. Biarlah dia mengagumi Zairil hanya dalam diam. Dia tidak menceritakan hal ini pada sesiapa kerana takut timbulnya fitnah. Ya, fitnah yang akan merosakkan jalinan ukhuwah.
Tambahan pula, dia pernah melihat Zairil bersama seorang wanita yang cantik sepadan dengannya. Pada mulanya hatinya sakit, namun Sufia menemui penawarnya. Kerana hal itu, dia semakin bersemangat untuk bermujahadah, memburu cinta Ilahi kerana dia percaya cinta insani akan menyusul selepas itu.

Dia mendapat ibarah daripada peristiwa itu. Dia sedar, dia perlu gantungkan pengharapannya pada Yang Esa. Dan kerana perasaan fitrah itu juga dia semakin mendekati Ilahi. Allah berikan Sufia ujian untuk tarik dia kembali kepadaNya. Dia juga mengambil ikhtibar daripada kisah cinta agung Saidina Ali RA dan Saidatina Fatimah, puteri kesayangan Rasulullah SAW:
"Saidatina Fatimah dan Saidina Ali merupakan teman akrab sejak kecil. Mana mungkin tidak timbul bibit cinta di antara mereka. Mereka telah mengenali hati budi masing-masing sejak kecil, mana mungkin hati tidak terpaut.
Akan tetapi Saidina Ali sedar dirinya miskin tidak berharta. Apakah Rasulullah SAW akan memandangnya jika beliau menyatakan hasrat ingin memperisterikan gadis solehah Rasulullah SAW? Perasaan cinta dan malu sering bertembung dalam dirinya.
Saban hari beliau melihat orang-orang kenamaan seperti Saidina Abu Bakar Assidiq RA dan Saidina Umar Alkhattab datang melamar sang puteri solehah. Namun, kedua-duanya ditolak dengan baik oleh Nabi Muhammad SAW. Saidina Ali menjadi semakin bingung. Menantu yang bagaimanakah yang diinginkan Rasulullah SAW?
Saudara-saudara Saidina Ali daripada kalangan Ansar menyarankan agar mengapa tidak beliau sahaja yang memberanikan diri menyunting kuntuman mawar indah dan harum itu. Kata Saidina Ali kepada yang berkata itu, "Aku hanyalah pemuda miskin yang tidak berharta. Apakah aku dipandang oleh Raslulullah SAW?" "Jangan risau saudaraku, kami di belakang kamu," kata mereka.
Berbekalkan semangat dan keberanian, beliau menuju ke rumah Nabi Muhammad SAW dengan harapan mawar mewangi itu dapat beliau miliki. Setelah menyatakan hasratnya, ternyata cinta beliau berbalas dan Saidina Ali tidak bertepuk sebelah tangan. Rasulullah SAW menerima lamaran Saidina Ali. Subhanallah."
Sudah masuk tahun ketiga. Ini bermakna ini Sufia punya dua semester lagi sebelum menamatkan pelajaran. Demi segulung Ijazah. Ya, dia perlu berjuang lebih, dia mahu pengorbanan ibu dan abahnya tidak sia-sia. Meski sibuk dengan kegiatan persatuan, Sufia tidak pernah mengabaikan pelajaran. Dia bijak membahagikan masa. Tentang rasa suka dia pada Zairil, tak mampu dia memadamkannya sepenuhnya. Namun, Sufia bijak menguruskan perasaannya.
Tetapi kejadiaan dua hari lepas benar-benar mengejutkannya. Dia didatangi sahabatnya dari persatuan yang sama, Qaireen.
"Sufia, boleh tanya sesuatu?" tanya Qaireen, salah seorang sahabat baiknya yang juga ahli Persatuan Daie Muda.
"Sejak bila pula kena minta kebenaran nak tanya ni?" kata Sufia sambil mengukirkan senyuman.
"Kita dah lama berkawan tapi awak tak pernah membahaskan soal hati. Saya lihat awak begitu matang dalam menghandle masalah kawan-kawan kita. Awak tak teringin ke punya teman?"
Sufia senyum.
"Saya mencari suami yang akan membimbing saya ke syurga, dan mungkin belum waktunya lagi saya bertemu dengannya," balas Sufia ringkas.
"Abang Syakir suruh saya bertanyakan hal ini kepada awak kerana ada seseorang yang berniat menjadikan awak suri dihatinya," tutur Qaireen.
Sufia terkesima.
Berita itu benar-benar memeranjatkan Sufia. Insan yang dimaksudkan Qaireen ialah Zairil. Rupa-rupanya tanpa dia sedari, Qaireen menyedari yang Sufia punya hati pada Zairil. Ya, memang dia punya perasaan terhadap Zairil. Namun, perasaan itu dia kuburkan demi menjaga hati supaya tidak menjadi rapuh.
Dia tidak pernah menyangka bahawa dia menjadi perhatian Zairil selama ini. Tambahan pula, Zairil yang begitu terkenal dengan sifat tegasnya sebagai YDP kelab, tidak pernah sama sekali membahaskan soal cinta dengannya.

Qaireen mengetahui tentang Zairil daripada abangnya, Syakir. Abangnya telah menceritakan segalanya pada Qaireen. Zairil pernah menceritakan pada Syakir bahawa sejak Sufia join persatuannya hatinya terus terpaut pada kelembutan dan kesopanan Sufia. Namun, dia tidak berani menerjah hati wanita itu.
Oleh kerana itu, Qaireen dan abangnya cuba melakukan sesuatu agar cinta suci antara Sufia dan Zairil bersatu tanpa mencemarkan jalinan ukhuwah antara mereka.
Sufia hanya mampu tersenyum, dia sendiri tidak mampu memutuskan sebarang jawapan. Dia tidak mahu membelakangkan orang tuanya, dia juga tidak mahu menyakitkan hati Zairil. Dia percaya Zairil tentu faham mengapa dia tidak mampu memberi sebarang kata putus sekarang.
Malam itu Sufia beristikharah memohon petunjuk daripada yang Maha Esa. Ya, inilah jalan yang paling tepat iaitu untuk mengadu padaNya. Allah mengetahui segala yang terbaik buatnya. Selama ini memang dia tak pernah jemu beristikharah memohon agar dikuatkan hati, diberikan jalan keluar pada setiap rentetan hidupnya. Sufia sentiasa berpegang bahawa istikharah itu bukan sekadar untuk soal jodoh tapi merangkumi segala aspek kehidupan.
Sejak perkhabaran itu sampai kepadanya, dia cuba berlagak seperti tiada apa yang berlaku kerana dia perlu profesional dalam melaksanakan tugasnya. Zairil juga berperlakuan seperti tiada apa yang berlaku. Sufia akan pulang ke rumahnya esok, dan dia tidak mahu Zairil ternanti-nanti jawapan daripadanya. Selain beristikharah, dia harus bermusyawarah dengan kedua orang tuanya.
Sufia menerima satu lagi kejutan apabila tiba di rumahnya. Kata kedua orang tua Sufia, petang kelmarin satu rombongan datang merisiknya. Sufia terkesima. Dia berbisik dihati, Ya Allah apakah yang KAU rencanakan untukku?
"Sufia, ini gambarnya.." kata ibunya sambil menghulurkan gambar kepada Sufia.
Sufia mengambil gambar daripada tangan ibunya dengan lambat. Alangkah terkejutnya dia, insan pada gambar itu ialah Zairil. Tika itu dia benar-benar merasakan Zairil ikhlas dengannya. Teringat kata-katanya ketika menyampaikan satu ucapan dalam salah satu majlis yang dianjurkan oleh persatuan. "Jika mahukan anaknya jumpalah walinya, usha walinya dahulu," katanya dalam nada berseloroh.
Zairil benar-benar mengotakan kata-katanya, hatinya ketika itu menyatakan Zairillah mujahid yang dia tunggu selama ini. Air matanya berguguran. Ya Allah, kau hadirkannya melalui pelbagai cara! Terima kasih ,Ya Allah.

02/02/2012 ialah tarikh yang menyatukan Sufia Adawiyah dan Zairil Mikail.
Tika detik diijab kabulkan, hanya tuhan yang tahu gelora di hati Sufia, apatah lagi Zairil. Satu lagi masjid terbina atas dasar kasih, dan akhirnya termeterai menjadi satu ikatan yang sah. Menangislah syaitan laknatullah! Alhamdulillah, segala-galanya berjalan dengan lancar. Alhamdulillah dengan sekali lafaz Sufia sah menjadi pelengkap rusuk kiri Zairil Mikail.
"Aku terima nikahnya Sufia Adawiyah Bt Adam dengan mas kahwinnya RM22.50," lancar saja lafaz akad meluncur dari bibir Zairil.
Zairil sedar, besar tanggungjawab menantinya nanti. Bukan sekadar akad semata-mata. Dia sedar dia perlu menanggung dosa isterinya, dia perlu berusaha menjadi imam terbaik buat isteri dan bakal zuriat mereka.
"Sayang, abang minta maaf kerana mengambil masa terlalu lama untuk mengambil sayang menjadi yang halal buat abang.."
Zairil diam seketika.
"Abang tak perlu minta maaf, inilah yang dikatakan takdir Ilahi," tutur Sufia lembut.
"Abang sebenarnya sukakan sayang sejak sayang join persatuan kita tu. Namun, melihat sayang benar-benar menjaga batasan, abang takut, abang pendam, abang berjanji pada diri untuk sentiasa memperbaiki diri untuk menjadi imam terbaik buat sayang.. Abang tak takut jika sayang menjadi milik yang lain ketika itu kerana abang percaya jodoh Allah dah tetapkan."
Sufia diam. Dia tidak mampu berbicara lagi. Kuasa Ilahi, meski mereka berdua tidak pernah membahaskan soal cinta secara terangan, namun mereka berbicara melalui doa, saling mendoakan.
Air mata bahagia Sufia berguguran. Zairil mendekati isterinya itu, menyapu air matanya. Dia bahagia kini.
Benarlah jika kita menjaga perhubungan kita, menjaga pergaulan kita, Allah akan menjaga dia buat kita.
Sekali lagi kisah cinta agung Saidina Ali RA dan Saidatina Fatimah menerjah ke benak fikirannya. Dia tersenyum, mungkin dia tidak sehebat Fatimah, namun dia akan cuba mejalankan tugasnya setulusnya buat suami tercinta, Zairil Mikail.
Terima kasih, Ya Allah. Terima kasih ibu, abah. Terima kasih Qaireen, sahabatku, dan Abang Syakir.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts